Why we choose this... What happens in college... What happens after college... What do we do next...

Thursday, March 22, 2007

Kementerian tak layan rayuan jika enggan mengajar di pedalaman

KUALA LUMPUR: Guru yang enggan mengajar di kawasan pedalaman diminta berhenti daripada perkhidmatan kerana Kementerian Pelajaran tidak akan melayan rayuan mereka untuk ditukarkan ke kawasan lain.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, berkata rayuan mereka tidak akan dilayan melainkan ada sebab yang munasabah dan tidak dapat dielakkan seperti masalah kesihatan.

“Kita sudah beritahu guru-guru yang merayu tidak mahu mengajar di kawasan ditetapkan kementerian supaya berhenti kerja, jika guru atau suami atau anak-anaknya sakit baru kita bagi keutamaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Noh berkata, alasan guru baru berkahwin dan ingin mengikut suami juga tidak akan dipertimbangkan melainkan jika ada kekosongan.

“Kenapa mesti lihat pada guru saja, ada juga kakitangan kerajaan lain seperti pegawai polis bekerja di tempat lain dan isterinya bekerja di tempat lain, tiada masalah...setiap kakitangan kerajaan akan perlu hadapi masalah seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah banyak menyediakan pelbagai insentif kepada guru yang akan ditempatkan di kawasan pedalaman seperti untuk kemudahan seperti kuarters yang dilengkapi perabot dan tambang perjalanan, manakala elaun khas bernilai antara RM500 dan RM1,500 bergantung kepada tahap kesusahan guru masih dalam peringkat perbincangan.

“Jadi dengan ada segala kemudahan ini, tidak ada sebab guru tidak mahu mengajar di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kita minta golongan guru berikan kepentingan terhadap anak murid mereka daripada diri mereka sendiri, jika ada keciciran pelajar di kawasan pedalaman siapa yang akan dipersalahkan nanti?,” katanya.

Note : Sumber Berita Harian Online



- Aku rasa Yang Berkenaan xda idea bagus gik mauk dibincang ... benda lapuk pun boleh jadi cerita panas, cuba mun nya mpun kat situasi ya baru nya tauk apa perasaan cikgu di ulu, setakat elaun ya apa jak mun dibandingkan dengan keluarga, 1 - 3 years kat pedalaman is just nice, tapi mun dah lamak gilak sapa tahan, macam ne nak meningkatkan kualiti profesion perguruan mun duduk kat tengah2 hutan sampey 5 - 10 tahun, macam ne mauk "berikan kepentingan terhadap anak murid mereka ..." ya ilmu diembak keluar dari maktab ya juak la ilmu pakey ngajar 5 - 10 akan datang, bila la nak maju ... hahaha auk jak lar ... apa-apa jak lar .... janji aku bahagia

Saturday, March 10, 2007

Cuepacs Harap Kenaikan Gaji Dilaksana Menjelang 1 Mei, Hari Pekerja



MELAKA, 8 Mac (Bernama) -- Kesatuan Sekerja Dalam Perkhdimatan Kerajaan (Cuepacs) berharap kenaikan gaji kakitangan kerajaan sebagaimana yang dipohon baru-baru ini dapat dilaksanakan menjelang 1 Mei sempena Hari Pekerja.

Presidennya Omar Osman berkata beliau berkeyakinan tuntutan Cuepacs itu wajar diterima kerajaan sebagai penyuntik semangat kepada kakitangan kerajaan untuk bekerja dengan lebih kuat.

"Berdasarkan fakta-fakta yang diberi dalam memorandum kita adalah kukuh dan mempunyai justifikasi," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat penubuhan Kesatuan Kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta penerangan isu semasa di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya permohonan kenaikan gaji yang dikemukakan kepada kerajaan tidak dipersetujui, Cuepacs mesti dimaklumkan mengenai perkara itu.

Cuepacs telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Selasa lepas berhubung kenaikan gaji yang dilaporkan mendapat petanda positif kepada lebih sejuta kakitangan kerajaan di sektor awam.

Omar dilaporkan berkata Perdana Menteri menyifatkan cadangan kenaikan gaji itu amat wajar memandangkan kali terakhir gaji kakitangan awam disemak pada 1992 iaitu 15 tahun lalu.

Cadangan semakan gaji yang dipohon antara 10 dan 40 peratus.

Kenaikan gaji 40 peratus yang dicadangkan adalah untuk kumpulan sokongan 11, Gred 1 hingga 16 yang merupakan jawatan terendah dalam sektor awam manakala bagi kumpulan sokongan 1, gred 17 hingga 26 dan gred 27 hingga 40 pula kadar kenaikan dicadangkan sebanyak 30 peratus

Bagi kumpulan pengurusan dan profesional, Gred 41 hingga 54, Cuepacs mencadangkan kenaikan gaji 20 peratus manakala bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) sebanyak 10 peratus.

Beliau mendakwa banyak kakitangan awam daripada kumpulan sokongan yang bergaji RM1,500 ke bawah membuat kerja sambilan sebagai pencuci lantai, cuci kereta, pengawal keselamatan dan di stesen minyak.

Omar memberi jaminan kenaikan gaji yang dipohon boleh menampung kehidupannya tanpa mereka melakukan kerja sambilan yang membolehkan kumpulan ini menumpukan kerja di pejabat sahaja.

"Cuepacs akan membuat pemantauan bagi perkara ini agar kakitangan awam tidak membuat kerja sampingan di luar waktu pejabat," katanya.

Menurutnya Cuepacs telah mencadangkan pakej baru iaitu pembelajaran sepanjang hayat bagi pekerja dinilai menerusi produktiviti, kursus dan seminar yang diikuti.


Note : Sumber Bernama



Bina stesen janakuasa hidro ganti generator


John Bong menunjukkan mesin jana kuasa hidro elektrik yang sudah digunakan oleh penduduk kampungnya sejak enam tahun lalu di Long Lellang, Miri, Sarawak.

Mukadimah
RANCANGAN Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini membuka jendela baru dalam dunia pendidikan negara.

Salah satu daripada elemen terpenting yang akan diperjuangkan melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) itu ialah merapatkan jurang prestasi dan kemudahan antara sekolah bandar dengan sekolah luar bandar.

Laporan bahagian akhir oleh wartawan ABD. HALIM HADI dan jurugambar ZUL AZHAR SHEBLEE mendekati kesukaran dan luahan hati guru-guru, para pemimpin dan masyarakat di pedalaman Sarawak.

Antara fokus utama ialah suasana pembelajaran yang dilalui oleh murid dan guru di Sekolah Kebangsaan Long Lellang.

Sekolah ini pernah melahirkan tokoh korporat dalam pengurusan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) iaitu Pengarah Urusannya, Idris Jala.

Terletak pada jarak 400 kilometer dari Miri, ia merupakan sebuah sekolah paling terpencil di negeri ini yang sememangnya memerlukan perhatian kerajaan.

Seperkara lagi ialah usaha membawa guru-guru berkhidmat ke kawasan yang masih bergantung kepada bekalan elektrik daripada generator itu dilihat masih berhalangan.

Namun, pengumuman kerajaan menambah elaun insentif kepada guru-guru diterima sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa.

LONG LELLANG (Miri) 7 Mac – Pembinaan empangan hidro mini yang mampu menjana kuasa elektrik 24 jam sehari akan mengurangkan beban perbelanjaan membeli minyak yang ditanggung oleh 30 keluarga termasuk sebuah sekolah di sini.

Ketua Kampung Long Lellang, Amat Aren, 80, berkata, stesen hidro elektrik itu akan membantu meringankan beban penduduk dan memberi kemudahan kepada murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lellang.

‘‘Kita minta kerajaan atau syarikat-syarikat swasta membina stesen janakuasa hidro bagi menggantikan penggunaan generator.

‘‘Sejak lebih 20 tahun, penduduk kampung membelanjakan banyak wang untuk membeli diesel dan petrol,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Amat, dengan adanya bekalan elektrik ‘percuma’ itu, kos yang ditanggung untuk membeli bahan bakar tersebut dapat digunakan untuk membeli keperluan lain.

‘‘Sebagai petani dan pemburu, pendapatan yang diperoleh tidak cukup untuk menampung harga minyak yang semakin mahal.

‘‘Sedangkan penggunaan diesel dan petrol menjadi keperluan asas kepada kami untuk menghidupkan lampu, mesin padi, mesin rumput dan gergaji,” katanya.

Katanya, walaupun kerajaan menyediakan subsidi minyak kepada penduduk di pedalaman tetapi mereka tidak mahu terlalu bergantung sepenuhnya kepada bantuan itu.

‘‘Pembinaan stesen janakuasa hidro itu adalah cadangan kami kepada kerajaan untuk manfaat jangka panjang,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya kerajaan dapat menyediakan kemudahan itu, taraf kehidupan penduduk di tanah tinggi itu dapat dipertingkatkan dengan lebih cepat.

Sementara itu, seorang penduduk, Unong Sigau, 68, berkata, dia membelanjakan kira-kira RM150 sebulan membeli diesel untuk kegunaan generator di rumahnya.

‘‘Harga minyak mahal di sini, satu gelen mengandungi empat liter minyak diesel dijual dengan harga RM30. Kalau saya hadkan penggunaannya, satu gelen boleh tahan sehingga seminggu.

‘‘Selain harga yang tinggi, bekalan juga susah diperoleh kerana kami di sini hanya dihubungkan melalui udara,” katanya.

Jelasnya, pengangkutan udara yang dikendalikan oleh Fly Asia Xpress (FAX) buat masa ini masih tidak dapat menampung penghantaran diesel dan petrol mengikut keperluan penduduk.

‘‘FAX hanya terbang dua kali seminggu ke Long Lellang itu pun dengan muatan kargo yang terhad kepada penumpang,” katanya.

Seorang penduduk, Balang Maput, 72, berkata, cadangan pembinaan stesen janakuasa itu dikemukakan kerana penduduk di Long Main mahukan kemudahan lebih baik.

‘‘Dengan adanya kemudahan seperti itu, kehidupan penduduk kini lebih baik dan selesa,’’ katanya.

Ketua Kampung Long Main, John Bong, 47 berkata, selepas pembinaan stesen hidro itu, penduduk kampung tidak lagi menggunakan generator malah menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari.

‘‘Saluran air disambung dari sebuah empangan kecil kira-kira 700 meter dari kampung ini. Dengan kuasa 20 kilowatt, ia sudah cukup untuk menerangi 13 buah rumah di sini,” ujarnya.

Adiknya, Petrus Bong, 45, berkata, penduduk di Long Main hanya perlu menyelenggara mesin janakuasa itu beberapa kali dalam sebulan sahaja.

‘‘Setiap bulan kita hanya periksa mesin sama ada ia berfungsi dengan baik atau tidak. Ia tidak memerlukan banyak kos, hanya setahun sekali getah mesin ini perlu ditukar,” katanya.

Dengan kemudahan itu, katanya, sebahagian masyarakat Penan di Long Main kini mampu menggunakan dapur elektrik, mesin basuh dan peti sejuk tanpa menanggung kos pembelian diesel.

Note : Sumber Utusan Malaysia Online



Elaun guru mampu kurangkan beban

LONG LELLANG (Miri) 7 Mac – Guru yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman menyambut baik langkah kerajaan menambah insentif termasuk beberapa elaun istimewa kepada mereka.

Mereka melihat ia bukan sekadar penghargaan, malah membuktikan tekad kerajaan meningkatkan prestasi dan kualiti pendidikan di kawasan luar bandar.

Pemberian insentif dan skim perkhidmatan yang lebih baik melalui Program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) itu diharap dapat melicinkan proses penempatan guru-guru berpengalaman ke kawasan tersebut.

Langkah itu diyakini menjadi pembakar semangat mereka untuk lebih bersedia sekiranya dihantar bertugas di luar bandar termasuk pedalaman.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menambah bayaran elaun insentif kepada guru di kawasan itu antara RM500 dan RM1,500 serta beberapa lagi elaun menarik.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lellang, Andy Lani, 23, berkata, pemberian elaun khas mengikut lokasi dan kesukaran itu sememangnya tepat pada masanya.

Katanya, dengan tambahan pendapatan itu, guru-guru dapat menanggung kos pengangkutan dan beban yang mereka tanggung selama ini.

Bagaimanapun tambahnya, pemberian elaun tidak bermakna sekiranya tahap pendidikan di luar bandar tidak berubah.

‘‘Ia tidak dipandang sebagai habuan tetapi mampu meringankan beban.

‘‘Cuba anda bayangkan, dengan pendapatan yang sama seperti guru lain di bandar, mereka terpaksa membelanjakan wang untuk tambang pengangkutan yang berbeza-beza,” jelasnya.

Katanya, ada yang terpaksa mengorbankan wang ringgit demi membayar tambang bot, kapal terbang, sampan dan pacuan empat roda hanya untuk berkhidmat di pedalaman.

‘‘Semua ini haruslah dipertimbangkan secara terperinci,” katanya.

Sharipah Hulwani Wan Madihi, 32, guru SK Mohd. Redeh dekat Mukah gembira sebaik sahaja mendengar insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu.

Beliau yang berkhidmat di pedalaman kategori dua sejak setahun lalu berkata, pemberian insentif itu dapat meringankan beban kos sara hidup semakin meningkat dan harga barang yang tinggi di pedalaman.

‘‘Saya bayar RM40 untuk tambang bot dari Saai ke Daro, itu tidak termasuk bayaran harga barang yang berganda.

‘‘Kadangkala bila memerlukan khidmat fotostat saya kena keluar ke Sarikei menggunakan bot ekspres, itu pun perlu keluar kos,” jelasnya.

Beliau memberitahu, selain kos pengangkutan, banyak lagi terpaksa ditanggung oleh guru di pedalaman seperti membeli peralatan memasak dan lilin.

Beliau turut bersyukur dengan pengumuman elaun ‘balik kampung’ sekali setahun yang dicadangkan.

‘‘Elaun balik kampung itu sekurang-kurangnya dapat meringankan harga tiket kapal terbang dari Long Lellang ke Kuching.

‘‘Tambang sehala dari Long Lellang ke Miri ialah RM70, dari Miri ke Kuching pula kadangkala mencecah RM180, itu belum termasuk tambang bas saya ke kampung di Sri Aman,” ujarnya.

Sementara itu, guru SK Nanga Semah, Daro, Ramona Katie Dobby, 31, berkata, kesanggupan guru mendidik anak luar bandar perlu diberi pengiktirafan dan pada masa sama usaha menyediakan kemudahan dan kelengkapan sekolah perlu diutamakan.

‘‘Ini lebih penting bagi memastikan persekitaran kerja menjadi lebih kondusif kepada pelajar dan guru.

‘‘Namun, sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan kedua-duanya, itu lebih baik lagi,” katanya.

Ujarnya, pendidikan adalah nadi kepada pembangunan bangsa, maka orang yang diamanahkan (guru dan pelajar) perlu ditempatkan di tempat yang baik.


Note : Sumber Utusan Malaysia Online

Friday, February 23, 2007

‘‘Guru jangan hilang fokus’’


DATUK FATIMAH MD. DENI.

Mukadimah
USAHA merapatkan jurang pendidikan telah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan mencapai banyak kemajuan sejak Rancangan Malaysia Ketiga (RMK-3). Walau bagaimanapun, tugas ini belum selesai dan akan terus diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Usaha ini dianggap paling kritikal atas nama pembangunan modal insan berminda kelas pertama, melalui kesaksamaan akses, ekuiti serta kualiti antara bandar dan luar bandar.

Hal ini juga sejajar dengan mesej yang selalu ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bahawa kejayaan agenda pembangunan modal insan amat bergantung kepada kualiti sistem pendidikan negara.

Menyedari betapa kritikalnya usaha untuk merapatkan jurang pendidikan menjelang tahun 2020, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan supaya teras strategi keempat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) ini dilaksanakan dalam bulan ini juga.

Lawatan Perdana Menteri ke Pulau Bum Bum pada 15 Februari ini untuk merasmikan Sekolah Berpusat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bum Bum menjadi pencetus kepada usaha itu, seperti yang telah dirancang dalam PIPP, yang dikelaskan sebagai Projek-Projek Impak Tinggi (HIPs) oleh Pasukan Petugas Pelaksanaan Nasional (NITF) dipengerusikan oleh Abdullah.

Pada peringkat Kementerian Pelajaran, tanggungjawab itu diserahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), Datuk Fatimah Md. Deni.

Ditanya apakah perkara pertama yang terlintas di fikirannya ketika menerima tugas tersebut, dalam nada spontan Fatimah berkata: ‘‘Bahu saya memikul satu tugas yang sangat berat.’’

Beliau menegaskan, amanah itu dilihat sangat penting kerana beliau tidak mahu ada pihak mempertikaikan produk yang dihasilkan nanti.

Biarpun yakin usaha tersebut mampu dilaksanakan dengan berkesan ditambah pula peruntukan besar yang disediakan iaitu RM23.2 bilion, namun, beliau tetap melahirkan kebimbangan jika matlamatnya tidak dihayati oleh semua pihak yang terbabit secara langsung.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, WAHID HASHIM, SITI MARIAM MD. ZAIN dan MARZITA ABDULLAH, Fatimah diminta menjelaskan tentang definisi sebenar jurang pendidikan, halangan dan cabaran yang dihadapi.

MINGGUAN: Apa sebenarnya definisi jurang pendidikan seperti terkandung dalam PIPP?

FATIMAH: PIPP 2006 hingga 2010 bertujuan memastikan Kementerian Pelajaran (KP) mempunyai matlamat tertentu untuk dicapai. Salah satu teras PIPP ialah merapatkan jurang bandar dan luar bandar. Walaupun sepanjang RMK-8 usaha-usaha telah dilakukan untuk memastikan keadaan di luar bandar khususnya Sabah dan Sarawak diberi segala kemudahan terutama infrastruktur termasuk membaiki sekolah daif, membina sekolah baru, menyediakan kuarters guru, membekalkan air bersih dan elektrik namun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Jadi kita meneruskan usaha-usaha ini dalam RMK-9 kerana jurang ini luas maknanya.

Kita meneruskan usaha membina lebih banyak sekolah, membaiki yang daif dan sebagainya. Kita juga melihat jurang dari segi digital, usaha kementerian contohnya membina makmal komputer, menyediakan schoolnet untuk mendapat akses kepada Internet. Kita juga mengadakan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menyediakan sekolah bestari. Ini semua merupakan usaha-usaha ke arah merapatkan jurang digital. Selain itu kita juga melatih guru. Kita ada infrastruktur namun jika kita tidak melengkapi guru dengan latihan sedangkan guru memainkan peranan di bilik darjah, mungkin usaha itu tidak akan tercapai seratus peratus.

Perkara yang menjadi fokus kepada matlamat merapatkan jurang bandar dan luar bandar ini?

FATIMAH: Kita mahu memastikan pelajar yang keluar dari institusi kita iaitu sekolah adalah insan-insan cemerlang yang boleh bersaing di peringkat global, berbudi bahasa atau apa yang kita sebut modal insan. Fokus kita adalah pelajar tetapi perkara lain mesti datang bersama.

Pertama, guru yang akan memainkan peranan, kedua, pembangunan fizikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemudah cara akan turut diberi penekanan. Perkara lain yang boleh membantu pelajar contohnya kemudahan buku teks, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Rancangan Makanan Tambahan (RMT) iaitu makanan lebih berkualiti bagi pelajar-pelajar miskin dan pelajar asrama. Baru-baru ini dalam mesyuarat Pasukan Petugas Pelaksanaan Nasional (NITF) yang dipengerusikan Perdana Menteri (PM), beberapa keputusan baru dibuat. Contohnya kadar makanan pelajar asrama ditambah daripada RM8 kepada RM12. RMT juga meningkat kadarnya kalau di Sabah dan Sarawak, RM1.35 kepada RM2.05.

Selain itu, menambah kemudahan pengangkutan para pelajar dan mewujudkan sekolah berpusat. Dalam masa sama, PM minta supaya bekalan elektrik dan air awam bersih dibekalkan 24 jam. Sekarang tempohnya terhad. Ada yang 12 jam, ada lapan jam dan ada enam jam. Saya diarah mencapai matlamat pada penghujung tahun. Apa yang kita buat ialah mempertingkatkan kuasa generator sedia ada serta menggabungkannya dengan kuasa solar.

Apa makna sekolah berpusat?

FATIMAH: Sekolah berpusat ialah usaha menyediakan kemudahan yang lebih baik. Ia sekolah baru yang dibina untuk membantu sekolah-sekolah kecil di satu-satu kawasan. Di bawah RMK-8, kita ada sebuah sekolah ini di Sabah dan Sarawak. Bererti Sekolah Kurang Murid (SKM) yang berhampiran akan dikurangkan dan semua murid akan ke sekolah berpusat. Selain memastikan infrastrukturnya baik, kita juga mahu guru berkualiti dan ada segala kemudahan yang diperlukan oleh para pelajar. Bermakna berlaku penambahbaikan kepada sekolah-sekolah kecil. Sekolah berpusat bermatlamat mengeluarkan pelajar berkualiti dan cemerlang.

Kementerian berusaha menyediakan infrastruktur dan pelbagai kemudahan, tetapi matlamatnya mungkin masih tidak akan sampai jika guru gagal memainkan peranan mereka?

FATIMAH: Kalau dilihat dari usaha-usaha kementerian, kita telah pun mengadakan pelbagai program dan pendekatan untuk memastikan guru-guru kita berkualiti. Contohnya kalau di luar bandar, ketika ini kita hanya memilih mereka yang meletakkan opsyen pertama sebagai guru. Kita akan memberi penekanan kepada faktor ini.

Kita juga menaik taraf maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG). Ini semua adalah untuk memartabatkan guru, agar kualiti guru dipertingkatkan. Guru juga diberi perhatian dari skil perkhidmatan mereka, peluang-peluang kenaikan pangkat diperluaskan, guru cemerlang dan pengetua cemerlang juga telah diberi tumpuan. Kita juga melihat peranan guru terlatih di bidang-bidang yang memerlukan keprihatinan contohnya kepimpinan. Sama ada sekolah itu menjadi atau tidak, bergantung kepada kepimpinan sekolah iaitu guru besar atau pengetua.

Dengan demikian, jawatan itu mestilah diisi oleh seseorang yang betul-betul boleh menjadi pemimpin di sekolah. Selain itu, kuarters guru juga akan dibina di tempat-tempat yang memerlukan. Di kawasan pedalaman, penekanan kita bukan sahaja menyediakan kuarters tetapi lengkap dengan perabot. Kita sedar apabila guru dihantar bertugas di pedalaman mereka tidak boleh membawa perabot. Maka kita tidak sekadar menyediakan tilam tetapi katil, sofa, almari dan sebagainya. Maknanya kalau guru-guru bujang, mereka akan masuk ‘cuci kaki’ sahaja.

Mereka disediakan kemudahan kelas pertama?

FATIMAH: Tidaklah sampai ada kelasnya tetapi insya-Allah kita menyediakan kemudahan asas di samping menjadikan guru selesa dan lebih berminat untuk ke pedalaman. Mungkin kalau kerajaan mampu, kita turut membekalkan televisyen. Menteri sendiri pernah menyuarakan hal ini. Sekarang pun bagi kawasan-kawasan yang mempunyai kuarters telah mula diberikan perabot malah ini mula dilakukan sejak tahun lalu.

Dalam konteks pendidikan, apa yang dimaksudkan sebagai pedalaman?

FATIMAH: Pedalaman bermakna terputus dari segala macam aksesibiliti. Maknanya dari segi pengangkutan daif, kena menggunakan kenderaan pacuan empat roda, bot dan sebagainya. Pedalaman juga sekarang ini kita bahagikan kepada tiga kategori iaitu pedalaman I – mempunyai kemudahan asas tetapi tidak selesa; pedalaman II – mungkin tiada kemudahan; pedalaman III – kita mungkin kena berjalan tiga atau empat hari untuk sampai ke satu-satu tempat.

Bagi menimbulkan kesediaan guru berkhidmat di pedalaman, kita telah memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mempercepatkan elaun pedalaman khas. Sekarang memang ada (elaun) tetapi kita minta kadarnya dipertimbangkan semula. Ketika ini kadarnya standard, duduk di luar bandar pun diberi kadar sama dengan di kawasan pedalaman yang mengambil masa tiga hari perjalanan untuk sampai. Kita mahu melihat perbezaan. Yang kita cadangkan ialah pedalaman I – tambahan sebanyak RM500, pedalaman II – ditambah RM1,000 dan pedalaman III – tambahan sebanyak RM1,500. Kita berharap usaha-usaha ini dapat dihayati oleh agensi pusat dan secara dasar memang Perdana Menteri sudah bersetuju tetapi kita perlu berbincang secara terperinci dengan JPA.

Guru akan menerima satu lagi durian runtuh?

FATIMAH: Ini ganjaran yang kita beri bagi menggalakkan guru bertugas di pedalaman. Malah kita juga mempunyai satu lagi pendekatan iaitu lagi lama mereka duduk di pedalaman, ada lagi insentif lain yang sedang dirancang.

Dalam kajian yang dibuat, apa punca sebenarnya guru tidak mahu mengajar di pedalaman?

FATIMAH: Kalau kita tanya kepada sesiapa pun sama ada hendak pergi ke pedalaman, pasti tiada yang sanggup. Bayangkan terpaksa berjalan berjam-jam, menaiki bot tiga hari tiga malam, siapa yang mahu? Dari segi kemudahan asas, tiada panggung wayang, pusat membeli-belah. Bagaimana kita hendak menarik minat mereka? Maka kita perlu menyediakan pelbagai insentif contohnya kuarters selesa yang dilengkapi perabot dan menaikkan elaun.

Sebagai golongan yang berhati murni untuk mendidik anak bangsa, bukankah mereka tidak sepatutnya memikirkan sangat tentang habuan?

FATIMAH: Kita hanya manusia biasa, jika diberi kemudahan mengapa kita hendak ke tempat yang menyusahkan? Ini realiti. Tiada siapa bekerja tidak memerlukan gaji. Ini ‘natural.’ Kalau hendak jumpa manusia yang bekerja semata-mata kerana Allah, memang ada tetapi tidak ramai. Kita telah buat kajian, apabila sampai ke satu peringkat, bertugas di pedalaman ini akan diwajibkan. Maknanya mereka tiada pilihan. Hendak menjadi guru boleh tetapi tiga atau lima tahun pertama dalam perkhidmatan kena pergi ke pedalaman. Keputusan telah dibuat tetapi perlu ada susulan. Ia tidak boleh dilaksanakan jika tidak ada kemudahan. Pelaksanaan ini akan dibuat secara berperingkat. Kita juga mengkaji supaya tidak semua sekolah mendapat guru yang terlalu baru dan yang terlalu lama. Kita mahu seimbang.

Kita juga tidak lagi menggalakkan pertukaran guru dalam keadaan tertentu. Katakan dia mengajar di Gombak tetapi mahu ke Kuala Selangor. Sebab keutamaan kita ialah membawa guru dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau guru-guru tempatan di Sabah dan Sarawak yang bersedia pulang ke kampung masing-masing. Malah itu salah satu daripada pendekatan kita mewujudkan IPG – satu di Sabah dan satu lagi di Sarawak – untuk melatih guru-guru tempatan. Kita tidak mahu terlalu banyak gangguan lagi kerana bimbang akan hilang fokus. Tetapi sekiranya ada keperluan dan terdapat kekosongan di sekolah berkenaan dan pertukaran atas suka sama suka, kita bersedia melayan permintaan seperti itu.

Tidakkah nanti wujud fenomena guru memilih untuk bertugas di luar bandar kerana imbuhan? Bermakna matlamat asal juga akan tersasar?

FATIMAH: Kita melihat kos sara hidup yang semakin tinggi. Penambahan elaun ini selari dengan keadaan semasa. Untuk pengetahuan, guru-guru yang berada di pedalaman hanya boleh keluar sekali dalam tempoh sebulan atau dua bulan.

Untuk keluar dan masuk semula, mereka perlu membelanjakan antara RM400 hingga RM700 sebab sewa bot mahal. Jadi memang kena waktunya kita menimbang semula kadar elaun guru. Tetapi insentif semata-mata bukan hasrat kita. Maknanya ada faktor-faktor lain yang turut diambil kira. Kita akan bekerjasama rapat dengan pihak Perbendaharaan dan JPA mengenai elaun ini kerana kita hanya membuat cadangan.

Kita sedar wujud masalah pengangkutan. Guru dan pelajar sendiri terpaksa mengambil masa berjam-jam malah berhari-hari untuk ke sekolah. Tetapi apa kesudahan kepada cerita sedih ini?

FATIMAH: Saya telah pergi banyak sekolah di pedalaman. Kalau tidak pergi, kita tidak tahu dan tidak memahami. Contohnya sekolah Orang Asli di Johor. Kenapa kehadiran pelajar hanya 40 peratus. Rupa-rupanya jalannya sukar. Orang kata, kalau wanita mengandung memang terus bersalin. Lagi satu, adakah manusia waras mahu menyewakan kereta mereka dengan keadaan jalan macam itu? Jadi ibu bapa kena hantar anak masing-masing ke sekolah.

Jika ada tiga anak dan hanya satu motosikal, semua akan naik sekali. Kemudian mereka akan berfikir kenapa hendak hantar anak ke sekolah sedangkan keutamaan sekarang ialah menoreh getah. Apabila kita bina asrama kita ingat boleh menyelesaikan masalah tetapi itu fikiran kita bukan Orang Asli. Ada pula yang bersedia menghantar anak tetapi mesti melawat setiap minggu. Apabila jauh, mereka perlukan kuarters transit. Ini yang akan kita perkenalkan nanti di beberapa sekolah di pedalaman. Kita akan bekerjasama dengan pihak swasta yang sedia menyewakan bas atau lori walaupun mahal, kita tiada pilihan. Yang penting kita mahu masyarakat Orang Asli hantar anak mereka ke sekolah. Kalau kita berjaya memujuk mereka, ini adalah pencapaian terbaik kita.

Ada yang mendakwa apa yang berlaku sekarang ialah perancangan kurikulum lebih laju daripada pembangunan fizikal itu sendiri. Komen Datuk?

FATIMAH: Kita kena lihat kurikulum merupakan sesuatu yang non-fizikal. Ini pengalaman saya menguruskan projek-projek di pedalaman. Pembinaan satu unit kuarters di kawasan bandar hanya menelan belanja contohnya RM200,000 sedangkan di pedalaman antara RM500,000 sehingga RM600,000. Ini kerana kita terpaksa memunggah bahan-bahan dengan helikopter jika tiada jalan darat atau sungai yang boleh menjadi penghubung.

Projek-projek di Semenanjung seperti sekolah rendah boleh siap dalam tempoh 18 atau 20 bulan tetapi di pedalaman Sabah dan Sarawak kena beri tempoh tambahan antara setahun. Di Semenanjung senang dapat pekerja tetapi di pedalaman belum tentu lagi walaupun upahnya berganda. Kalau di sini ada mesin membancuh simen, di sana semuanya dibuat dengan kudrat sendiri termasuk menanam cerucuk. Itu belum faktor pasang surut air bagi yang menggunakan pengangkutan air. Hendak mengangkat simen kena tengok keadaan. Perancangan perlu tepat supaya risikonya tidak terlalu tinggi. Dalam masa sama, agenda pendidikan perlu diteruskan.

Bagaimana dengan perkara dalam kawalan tetapi kita tidak merancang dengan baik. Contohnya ada projek rintis tetapi ‘terbuang’ begitu sahaja dan kerajaan rugi berjuta-juta ringgit?

FATIMAH: Kementerian tidak bertolak ansur lagi dalam hal ini. Sekarang mereka adalah pihak yang berminat dan mahu memperkenalkan projek atau program kepada kementerian. Dan kita tidak boleh bersetuju terus kecuali mereka ada projek rintis. Menjadi prinsip kita tidak akan memberi bayaran bagi mana-mana projek rintis.

Tetapi belum ada lagi projek rintis yang menelan belanja berjuta-juta ringgit. Kita pun amat bertimbang rasa kalau projek rintis itu menelan belanja tinggi, tidak payah kita buat banyak. Saya fikir jika mereka boleh meyakinkan kementerian tentang kos dan kesannya, maka kita akan mempertimbangkan.

Dulu berlaku kes makmal komputer terbengkalai. Apa jaminan semua ini tidak berulang?

FATIMAH: Semasa melaksanakan pembinaan makmal komputer fasa pertama, kita buat secara rundingan terus, bukan keputusan kementerian. Kami hanya menerima keputusan dan diarah untuk melaksanakan. Jadi kami tidak kenal kontraktor A, B atau C. Rundingan terus dengan Kementerian Kewangan. Sekarang tiada lagi kerana semuanya kami yang uruskan. Kita buat pendekatan ada yang kita serah kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya dan ada yang JPN buat. Kita lihat kepada kemampuan masing-masing. Apabila di bawah kawalan kita, mudah untuk mengawasinya.


Note : Sumber Utusan Malaysia