‘‘Guru jangan hilang fokus’’
|
|
Mukadimah
USAHA merapatkan jurang pendidikan telah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan mencapai banyak kemajuan sejak Rancangan Malaysia Ketiga (RMK-3). Walau bagaimanapun, tugas ini belum selesai dan akan terus diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Usaha ini dianggap paling kritikal atas nama pembangunan modal insan berminda kelas pertama, melalui kesaksamaan akses, ekuiti serta kualiti antara bandar dan luar bandar.
Hal ini juga sejajar dengan mesej yang selalu ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bahawa kejayaan agenda pembangunan modal insan amat bergantung kepada kualiti sistem pendidikan negara.
Menyedari betapa kritikalnya usaha untuk merapatkan jurang pendidikan menjelang tahun 2020, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan supaya teras strategi keempat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) ini dilaksanakan dalam bulan ini juga.
Lawatan Perdana Menteri ke Pulau Bum Bum pada 15 Februari ini untuk merasmikan Sekolah Berpusat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bum Bum menjadi pencetus kepada usaha itu, seperti yang telah dirancang dalam PIPP, yang dikelaskan sebagai Projek-Projek Impak Tinggi (HIPs) oleh Pasukan Petugas Pelaksanaan Nasional (NITF) dipengerusikan oleh Abdullah.
Pada peringkat Kementerian Pelajaran, tanggungjawab itu diserahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), Datuk Fatimah Md. Deni.
Ditanya apakah perkara pertama yang terlintas di fikirannya ketika menerima tugas tersebut, dalam nada spontan Fatimah berkata: ‘‘Bahu saya memikul satu tugas yang sangat berat.’’
Beliau menegaskan, amanah itu dilihat sangat penting kerana beliau tidak mahu ada pihak mempertikaikan produk yang dihasilkan nanti.
Biarpun yakin usaha tersebut mampu dilaksanakan dengan berkesan ditambah pula peruntukan besar yang disediakan iaitu RM23.2 bilion, namun, beliau tetap melahirkan kebimbangan jika matlamatnya tidak dihayati oleh semua pihak yang terbabit secara langsung.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, WAHID HASHIM, SITI MARIAM MD. ZAIN dan MARZITA ABDULLAH, Fatimah diminta menjelaskan tentang definisi sebenar jurang pendidikan, halangan dan cabaran yang dihadapi.
MINGGUAN: Apa sebenarnya definisi jurang pendidikan seperti terkandung dalam PIPP?
FATIMAH: PIPP 2006 hingga 2010 bertujuan memastikan Kementerian Pelajaran (KP) mempunyai matlamat tertentu untuk dicapai. Salah satu teras PIPP ialah merapatkan jurang bandar dan luar bandar. Walaupun sepanjang RMK-8 usaha-usaha telah dilakukan untuk memastikan keadaan di luar bandar khususnya Sabah dan Sarawak diberi segala kemudahan terutama infrastruktur termasuk membaiki sekolah daif, membina sekolah baru, menyediakan kuarters guru, membekalkan air bersih dan elektrik namun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Jadi kita meneruskan usaha-usaha ini dalam RMK-9 kerana jurang ini luas maknanya.
Kita meneruskan usaha membina lebih banyak sekolah, membaiki yang daif dan sebagainya. Kita juga melihat jurang dari segi digital, usaha kementerian contohnya membina makmal komputer, menyediakan schoolnet untuk mendapat akses kepada Internet. Kita juga mengadakan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menyediakan sekolah bestari. Ini semua merupakan usaha-usaha ke arah merapatkan jurang digital. Selain itu kita juga melatih guru. Kita ada infrastruktur namun jika kita tidak melengkapi guru dengan latihan sedangkan guru memainkan peranan di bilik darjah, mungkin usaha itu tidak akan tercapai seratus peratus.
Perkara yang menjadi fokus kepada matlamat merapatkan jurang bandar dan luar bandar ini?
FATIMAH: Kita mahu memastikan pelajar yang keluar dari institusi kita iaitu sekolah adalah insan-insan cemerlang yang boleh bersaing di peringkat global, berbudi bahasa atau apa yang kita sebut modal insan. Fokus kita adalah pelajar tetapi perkara lain mesti datang bersama.
Pertama, guru yang akan memainkan peranan, kedua, pembangunan fizikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemudah cara akan turut diberi penekanan. Perkara lain yang boleh membantu pelajar contohnya kemudahan buku teks, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Rancangan Makanan Tambahan (RMT) iaitu makanan lebih berkualiti bagi pelajar-pelajar miskin dan pelajar asrama. Baru-baru ini dalam mesyuarat Pasukan Petugas Pelaksanaan Nasional (NITF) yang dipengerusikan Perdana Menteri (PM), beberapa keputusan baru dibuat. Contohnya kadar makanan pelajar asrama ditambah daripada RM8 kepada RM12. RMT juga meningkat kadarnya kalau di Sabah dan Sarawak, RM1.35 kepada RM2.05.
Selain itu, menambah kemudahan pengangkutan para pelajar dan mewujudkan sekolah berpusat. Dalam masa sama, PM minta supaya bekalan elektrik dan air awam bersih dibekalkan 24 jam. Sekarang tempohnya terhad. Ada yang 12 jam, ada lapan jam dan ada enam jam. Saya diarah mencapai matlamat pada penghujung tahun. Apa yang kita buat ialah mempertingkatkan kuasa generator sedia ada serta menggabungkannya dengan kuasa solar.
Apa makna sekolah berpusat?
FATIMAH: Sekolah berpusat ialah usaha menyediakan kemudahan yang lebih baik. Ia sekolah baru yang dibina untuk membantu sekolah-sekolah kecil di satu-satu kawasan. Di bawah RMK-8, kita ada sebuah sekolah ini di Sabah dan Sarawak. Bererti Sekolah Kurang Murid (SKM) yang berhampiran akan dikurangkan dan semua murid akan ke sekolah berpusat. Selain memastikan infrastrukturnya baik, kita juga mahu guru berkualiti dan ada segala kemudahan yang diperlukan oleh para pelajar. Bermakna berlaku penambahbaikan kepada sekolah-sekolah kecil. Sekolah berpusat bermatlamat mengeluarkan pelajar berkualiti dan cemerlang.
Kementerian berusaha menyediakan infrastruktur dan pelbagai kemudahan, tetapi matlamatnya mungkin masih tidak akan sampai jika guru gagal memainkan peranan mereka?
FATIMAH: Kalau dilihat dari usaha-usaha kementerian, kita telah pun mengadakan pelbagai program dan pendekatan untuk memastikan guru-guru kita berkualiti. Contohnya kalau di luar bandar, ketika ini kita hanya memilih mereka yang meletakkan opsyen pertama sebagai guru. Kita akan memberi penekanan kepada faktor ini.
Kita juga menaik taraf maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG). Ini semua adalah untuk memartabatkan guru, agar kualiti guru dipertingkatkan. Guru juga diberi perhatian dari skil perkhidmatan mereka, peluang-peluang kenaikan pangkat diperluaskan, guru cemerlang dan pengetua cemerlang juga telah diberi tumpuan. Kita juga melihat peranan guru terlatih di bidang-bidang yang memerlukan keprihatinan contohnya kepimpinan. Sama ada sekolah itu menjadi atau tidak, bergantung kepada kepimpinan sekolah iaitu guru besar atau pengetua.
Dengan demikian, jawatan itu mestilah diisi oleh seseorang yang betul-betul boleh menjadi pemimpin di sekolah. Selain itu, kuarters guru juga akan dibina di tempat-tempat yang memerlukan. Di kawasan pedalaman, penekanan kita bukan sahaja menyediakan kuarters tetapi lengkap dengan perabot. Kita sedar apabila guru dihantar bertugas di pedalaman mereka tidak boleh membawa perabot. Maka kita tidak sekadar menyediakan tilam tetapi katil, sofa, almari dan sebagainya. Maknanya kalau guru-guru bujang, mereka akan masuk ‘cuci kaki’ sahaja.
Mereka disediakan kemudahan kelas pertama?
FATIMAH: Tidaklah sampai ada kelasnya tetapi insya-Allah kita menyediakan kemudahan asas di samping menjadikan guru selesa dan lebih berminat untuk ke pedalaman. Mungkin kalau kerajaan mampu, kita turut membekalkan televisyen. Menteri sendiri pernah menyuarakan hal ini. Sekarang pun bagi kawasan-kawasan yang mempunyai kuarters telah mula diberikan perabot malah ini mula dilakukan sejak tahun lalu.
Dalam konteks pendidikan, apa yang dimaksudkan sebagai pedalaman?
FATIMAH: Pedalaman bermakna terputus dari segala macam aksesibiliti. Maknanya dari segi pengangkutan daif, kena menggunakan kenderaan pacuan empat roda, bot dan sebagainya. Pedalaman juga sekarang ini kita bahagikan kepada tiga kategori iaitu pedalaman I – mempunyai kemudahan asas tetapi tidak selesa; pedalaman II – mungkin tiada kemudahan; pedalaman III – kita mungkin kena berjalan tiga atau empat hari untuk sampai ke satu-satu tempat.
Bagi menimbulkan kesediaan guru berkhidmat di pedalaman, kita telah memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mempercepatkan elaun pedalaman khas. Sekarang memang ada (elaun) tetapi kita minta kadarnya dipertimbangkan semula. Ketika ini kadarnya standard, duduk di luar bandar pun diberi kadar sama dengan di kawasan pedalaman yang mengambil masa tiga hari perjalanan untuk sampai. Kita mahu melihat perbezaan. Yang kita cadangkan ialah pedalaman I – tambahan sebanyak RM500, pedalaman II – ditambah RM1,000 dan pedalaman III – tambahan sebanyak RM1,500. Kita berharap usaha-usaha ini dapat dihayati oleh agensi pusat dan secara dasar memang Perdana Menteri sudah bersetuju tetapi kita perlu berbincang secara terperinci dengan JPA.
Guru akan menerima satu lagi durian runtuh?
FATIMAH: Ini ganjaran yang kita beri bagi menggalakkan guru bertugas di pedalaman. Malah kita juga mempunyai satu lagi pendekatan iaitu lagi lama mereka duduk di pedalaman, ada lagi insentif lain yang sedang dirancang.
Dalam kajian yang dibuat, apa punca sebenarnya guru tidak mahu mengajar di pedalaman?
FATIMAH: Kalau kita tanya kepada sesiapa pun sama ada hendak pergi ke pedalaman, pasti tiada yang sanggup. Bayangkan terpaksa berjalan berjam-jam, menaiki bot tiga hari tiga malam, siapa yang mahu? Dari segi kemudahan asas, tiada panggung wayang, pusat membeli-belah. Bagaimana kita hendak menarik minat mereka? Maka kita perlu menyediakan pelbagai insentif contohnya kuarters selesa yang dilengkapi perabot dan menaikkan elaun.
Sebagai golongan yang berhati murni untuk mendidik anak bangsa, bukankah mereka tidak sepatutnya memikirkan sangat tentang habuan?
FATIMAH: Kita hanya manusia biasa, jika diberi kemudahan mengapa kita hendak ke tempat yang menyusahkan? Ini realiti. Tiada siapa bekerja tidak memerlukan gaji. Ini ‘natural.’ Kalau hendak jumpa manusia yang bekerja semata-mata kerana Allah, memang ada tetapi tidak ramai. Kita telah buat kajian, apabila sampai ke satu peringkat, bertugas di pedalaman ini akan diwajibkan. Maknanya mereka tiada pilihan. Hendak menjadi guru boleh tetapi tiga atau lima tahun pertama dalam perkhidmatan kena pergi ke pedalaman. Keputusan telah dibuat tetapi perlu ada susulan. Ia tidak boleh dilaksanakan jika tidak ada kemudahan. Pelaksanaan ini akan dibuat secara berperingkat. Kita juga mengkaji supaya tidak semua sekolah mendapat guru yang terlalu baru dan yang terlalu lama. Kita mahu seimbang.
Kita juga tidak lagi menggalakkan pertukaran guru dalam keadaan tertentu. Katakan dia mengajar di Gombak tetapi mahu ke Kuala Selangor. Sebab keutamaan kita ialah membawa guru dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau guru-guru tempatan di Sabah dan Sarawak yang bersedia pulang ke kampung masing-masing. Malah itu salah satu daripada pendekatan kita mewujudkan IPG – satu di Sabah dan satu lagi di Sarawak – untuk melatih guru-guru tempatan. Kita tidak mahu terlalu banyak gangguan lagi kerana bimbang akan hilang fokus. Tetapi sekiranya ada keperluan dan terdapat kekosongan di sekolah berkenaan dan pertukaran atas suka sama suka, kita bersedia melayan permintaan seperti itu.
Tidakkah nanti wujud fenomena guru memilih untuk bertugas di luar bandar kerana imbuhan? Bermakna matlamat asal juga akan tersasar?
FATIMAH: Kita melihat kos sara hidup yang semakin tinggi. Penambahan elaun ini selari dengan keadaan semasa. Untuk pengetahuan, guru-guru yang berada di pedalaman hanya boleh keluar sekali dalam tempoh sebulan atau dua bulan.
Untuk keluar dan masuk semula, mereka perlu membelanjakan antara RM400 hingga RM700 sebab sewa bot mahal. Jadi memang kena waktunya kita menimbang semula kadar elaun guru. Tetapi insentif semata-mata bukan hasrat kita. Maknanya ada faktor-faktor lain yang turut diambil kira. Kita akan bekerjasama rapat dengan pihak Perbendaharaan dan JPA mengenai elaun ini kerana kita hanya membuat cadangan.
Kita sedar wujud masalah pengangkutan. Guru dan pelajar sendiri terpaksa mengambil masa berjam-jam malah berhari-hari untuk ke sekolah. Tetapi apa kesudahan kepada cerita sedih ini?
FATIMAH: Saya telah pergi banyak sekolah di pedalaman. Kalau tidak pergi, kita tidak tahu dan tidak memahami. Contohnya sekolah Orang Asli di Johor. Kenapa kehadiran pelajar hanya 40 peratus. Rupa-rupanya jalannya sukar. Orang kata, kalau wanita mengandung memang terus bersalin. Lagi satu, adakah manusia waras mahu menyewakan kereta mereka dengan keadaan jalan macam itu? Jadi ibu bapa kena hantar anak masing-masing ke sekolah.
Jika ada tiga anak dan hanya satu motosikal, semua akan naik sekali. Kemudian mereka akan berfikir kenapa hendak hantar anak ke sekolah sedangkan keutamaan sekarang ialah menoreh getah. Apabila kita bina asrama kita ingat boleh menyelesaikan masalah tetapi itu fikiran kita bukan Orang Asli. Ada pula yang bersedia menghantar anak tetapi mesti melawat setiap minggu. Apabila jauh, mereka perlukan kuarters transit. Ini yang akan kita perkenalkan nanti di beberapa sekolah di pedalaman. Kita akan bekerjasama dengan pihak swasta yang sedia menyewakan bas atau lori walaupun mahal, kita tiada pilihan. Yang penting kita mahu masyarakat Orang Asli hantar anak mereka ke sekolah. Kalau kita berjaya memujuk mereka, ini adalah pencapaian terbaik kita.
Ada yang mendakwa apa yang berlaku sekarang ialah perancangan kurikulum lebih laju daripada pembangunan fizikal itu sendiri. Komen Datuk?
FATIMAH: Kita kena lihat kurikulum merupakan sesuatu yang non-fizikal. Ini pengalaman saya menguruskan projek-projek di pedalaman. Pembinaan satu unit kuarters di kawasan bandar hanya menelan belanja contohnya RM200,000 sedangkan di pedalaman antara RM500,000 sehingga RM600,000. Ini kerana kita terpaksa memunggah bahan-bahan dengan helikopter jika tiada jalan darat atau sungai yang boleh menjadi penghubung.
Projek-projek di Semenanjung seperti sekolah rendah boleh siap dalam tempoh 18 atau 20 bulan tetapi di pedalaman Sabah dan Sarawak kena beri tempoh tambahan antara setahun. Di Semenanjung senang dapat pekerja tetapi di pedalaman belum tentu lagi walaupun upahnya berganda. Kalau di sini ada mesin membancuh simen, di sana semuanya dibuat dengan kudrat sendiri termasuk menanam cerucuk. Itu belum faktor pasang surut air bagi yang menggunakan pengangkutan air. Hendak mengangkat simen kena tengok keadaan. Perancangan perlu tepat supaya risikonya tidak terlalu tinggi. Dalam masa sama, agenda pendidikan perlu diteruskan.
Bagaimana dengan perkara dalam kawalan tetapi kita tidak merancang dengan baik. Contohnya ada projek rintis tetapi ‘terbuang’ begitu sahaja dan kerajaan rugi berjuta-juta ringgit?
FATIMAH: Kementerian tidak bertolak ansur lagi dalam hal ini. Sekarang mereka adalah pihak yang berminat dan mahu memperkenalkan projek atau program kepada kementerian. Dan kita tidak boleh bersetuju terus kecuali mereka ada projek rintis. Menjadi prinsip kita tidak akan memberi bayaran bagi mana-mana projek rintis.
Tetapi belum ada lagi projek rintis yang menelan belanja berjuta-juta ringgit. Kita pun amat bertimbang rasa kalau projek rintis itu menelan belanja tinggi, tidak payah kita buat banyak. Saya fikir jika mereka boleh meyakinkan kementerian tentang kos dan kesannya, maka kita akan mempertimbangkan.
Dulu berlaku kes makmal komputer terbengkalai. Apa jaminan semua ini tidak berulang?
FATIMAH: Semasa melaksanakan pembinaan makmal komputer fasa pertama, kita buat secara rundingan terus, bukan keputusan kementerian. Kami hanya menerima keputusan dan diarah untuk melaksanakan. Jadi kami tidak kenal kontraktor A, B atau C. Rundingan terus dengan Kementerian Kewangan. Sekarang tiada lagi kerana semuanya kami yang uruskan. Kita buat pendekatan ada yang kita serah kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya dan ada yang JPN buat. Kita lihat kepada kemampuan masing-masing. Apabila di bawah kawalan kita, mudah untuk mengawasinya.
Note : Sumber Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment