Why we choose this... What happens in college... What happens after college... What do we do next...

Friday, February 23, 2007

“Terima kasih cikgu”



Murid-murid prasekolah terpaksa menggunakan titi usang untuk berulang-alik ke sekolah di Kampung Muhibbah, Kuching, Sarawak. Kerajaan kini berusaha mempertingkatkan kemudahan pendidikan di kawasan pedalaman. – Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.

‘‘TERIMA kasih cikgu!” Satu ungkapan yang biasa kita dengar di seluruh ceruk rantau sekolah di negara ini sebaik sahaja seseorang guru selesai mengajar sesuatu mata pelajaran.

Ungkapan tradisi itu disebut dalam nada yang berbeza. Mungkin kepada murid sekolah rendah ia agak panjang, sesetengahnya dengan suara yang lantang, bersemangat dan sebilangan lagi dengan nada lemah dan sayu.

Begitu juga ungkapan itu memberi makna yang berbeza. Mungkin di sesetengah sekolah, ia hanya amalan biasa bagi memberi penghormatan dan penghargaan kepada sumbangan guru mendidik anak bangsa.

Namun, bagi pelajar-pelajar sekolah yang lain khususnya di kawasan pedalaman, ungkapan itu membawa makna yang amat mendalam. Menusuk jauh ke lubuk hati dan terbekas di ingatan.

Ini kerana tugas mendidik kanak-kanak seawal usia enam tahun berbeza-beza mengikut tempat seseorang guru itu ditempatkan mengajar. Ada yang bertugas di ibu negara, ibu negeri, bandar, pinggir bandar, pekan dan kampung-kampung.

Sebilangan lagi, di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman. Mereka ini ada yang ditempatkan di lereng gunung, atas banjaran, lembah, kaki bukit, tepi sungai, di tengah hutan belantara dan pulau-pulau terpencil.

Jika tempatnya berbeza, maka tentu sekali kemudahan infrastruktur dan keselesaan yang dinikmati oleh guru-guru ini juga berbeza. Begitu juga dengan nasib kanak-kanak yang belajar di sekolah di mana guru itu berada juga berbeza.

Pada masa ini terdapat 2.2 juta murid dikategorikan sebagai pelajar luar bandar dan pedalaman. Mereka adalah pelajar di 5,077 atau 68 peratus daripada 7,513 buah sekolah rendah yang ada di negara ini. Sebanyak 792 atau 39 peratus daripada 2,045 buah sekolah menengah turut terangkum dalam kategori itu.

Suatu yang lebih serius, daripada 7,513 buah sekolah rendah itu, sebanyak 33 peratus atau 2,260 buah sekolah merupakan sekolah kurang murid (SKM) yang mempunyai kurang 150 murid kini berada dalam keadaan daif, serba kekurangan kemudahan asas dan guru terlatih.

Masalahnya bagi SKM ini, kerajaan sukar menyalurkan bantuan meningkatkan prasarana memandangkan jumlah pelajar yang terhad dan perhatian seharusnya menjurus kepada sekolah lebih ramai pelajar dan pastinya lebih mendesak untuk diagihkan bantuan.

Namun begitu, pada masa yang sama nasib pelajar dan guru di SKM dan sekolah-sekolah pedalaman juga tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Tanpa kemudahan dan perhatian, khususnya dalam aspek pendidikan, tidak mungkin kerajaan mampu memajukan kawasan luar bandar seadilnya seperti masyarakat bandar.

Siapa tahu, mungkin di sana ada banyak intan dan berlian atau emas dan permata yang terbenam di dalam lumpur. Jika tidak digilap dan dibentuk sebaik mungkin, hasrat negara untuk mencapai matlamat negara maju menjelang 2020 sukar dicapai.

Tanggungjawab melaksanakan amanah itu pula terpikul oleh 143,000 guru di kawasan luar bandar dan pedalaman yang menuntut mereka menjalankan tugas terbaik untuk pelajar di bawah jagaan mereka.

Ironinya dalam keadaan kita mahu guru-guru itu melaksanakan tugas terbaik untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang, tetapi mereka ini tidak dibekalkan dengan kemudahan yang terbaik atau sekurang-kurangnya tidak diistilahkan sebagai daif.

Sebagai langkah mengurangkan jurang perbezaan yang mungkin semakin tinggi jika dibiarkan berterusan, Kementerian Pelajaran mengambil langkah bersepadu melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan pada 16 Januari lalu yang juga di bawah Projek Berimpak Tinggi.

Pernyataan komitmen berterusan Kementerian Pelajaran itu dicernakan melalui pelancaran Projek Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pulau Bum Bum, Semporna, Khamis lalu.

Pengumuman tambahan peruntukan RM2.6 bilion menjadikan keseluruhan RM12.3 bilion khusus kepada program peningkatan pendidikan luar bandar adalah bukti jelas dan nyata keprihatinan pucuk pimpinan kerajaan terhadap masyarakat luar bandar.

Kebiasaannya dalam perniagaan, pelabur hanya berminat melabur di kawasan strategik serta mempunyai seribu satu kemudahan sama ada lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang, namun pelaburan pendidikan melangkaui sempadan itu.

Pelaburan pendidikan tidak lagi boleh disukat dengan wang ringgit. Nilai kemanusiaan mewajarkan peruntukan besar untuk pelajar dan guru di pedalaman kerana mereka adalah sebahagian rakyat yang selayaknya menerima kemudahan sosial sama adil dengan masyarakat di bandar.

Membangunkan prasarana di pedalaman bukan mudah. Kosnya berlipat kali ganda kerana bahan-bahan seperti besi, simen, pasir dan sebagainya perlu dibawa masuk melalui helikopter atau jalan darat yang jauh dan sukar dihubungi.

Jika guru-guru sanggup berkorban jiwa dan raga mereka bertugas jauh di pedalaman, tentu sekali tidak wajar pihak bertanggungjawab bersikap memandang sebelah mata segala kekurangan dan kedaifan kemudahan yang ada, hanya kerana peruntukan yang perlu disalurkan itu cukup tinggi berbanding di kawasan lain.

“Guru-guru yang bertugas di pedalaman ini perlu dibantu kerana mereka adalah hero-hero kita dalam perkhidmatan pendidikan,” kata Perdana Menteri semasa menterjemahkan suara hatinya kepada budi dan jasa warga pendidik di kawasan luar bandar.

Sebagai penghargaan, Abdullah mengumumkan kelulusan tambahan RM2.6 bilion bagi melonjak pendidikan luar bandar yang merangkumi aspek sokongan dan bantuan, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), guru dan program intervensi.

Daripada rangkuman itu terserlah tiga aspek penting yang menjadi tonggak dan nadi pengajaran dan pembelajaran luar bandar iaitu infrastruktur, pelajar dan guru.

Masing-masing menerima imbuhan yang setimpal. Walaupun bukan dalam bentuk bonus atau kenaikan gaji, namun elemen lonjakan itu dilihat sebagai suatu gerakan bersepadu untuk memperkasakan perkembangan pendidikan luar bandar dan pedalaman.

Pelajar menerima bahagian mereka, daripada bersekolah di bangunan usang, kepada bangunan konkrit, bekalan elektrik 24 jam, bekalan air bersih, asrama, makanan berkualiti sehingga kepada kemudahan ICT sebagai pintu gerbang untuk meneroka khazanah dunia.

Sementara guru, menerima elaun tambahan pedalaman mengikut lokasi dan tahap kesusahan, elaun balik kampung, insurans perlindungan, tambahan rumah guru dan menaik taraf rumah sedia ada.

Melalui perancangan dan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan itu, kita tidak lagi boleh melihat ke belakang, kerana jauh di hadapan, ada masa depan yang panjang dan penuh cabaran.

Melengkapkan kanak-kanak seawal usia enam tahun dengan pendidikan berkesan, mampu melonjakkan mereka daripada keciciran, terpinggir, buta huruf dan terjerumus dengan pelbagai masalah sosial yang lain.

Mempersiapkan generasi baru untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan hari ini tidak boleh dilaksanakan dalam masa sekelip mata, kita tidak boleh melonjak jika tidak pandai berjalan.

“Terima kasih cikgu!''



Oleh JAMDI NASIR (WARTAWAN UTUSAN)

No comments: