Why we choose this... What happens in college... What happens after college... What do we do next...

Sunday, February 18, 2007

Ramai setuju guru luar bandar diberi elaun lebih tinggi

KUCHING, 12 Feb: Cadangan kerajaan persekutuan menawarkan elaun lebih tinggi kepada guru yang berkhidmat di luar bandar bertepatan pada masanya supaya bersedia berkhidmat lebih lama di kawasan terbabit.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, sementara langkah itu dilihat baik tetapi kerajaan tidak harus mengabaikan insentif lain.

“Penambahan insentif sudah tentu akan merangsang guru yang berkhidmat di luar bandar tetapi bagi sesetengah mereka, persekitaran pembelajaran akan terus menjadi keraguan mereka. Kemudahan pengajaran dan pembelajaran selain peluang meningkatkan profesionalisme seperti biasiswa tidak harus diabaikan,” katanya.

Fatimah berpendapat, kerajaan tidak harus hanya melihat pada insentif dalam jangka masa pendek tetapi juga langkah jangka panjang untuk menaik taraf kemudahan di sekolah yang dapat memberi manfaat bukan saja kepada guru malah pelajar.

Beliau menegaskan, masih banyak lagi sekolah di luar bandar yang tidak dibekalkan dengan sistem paip dan elektrik yang sempurna.

Ahad lalu, Timbalan Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan menawarkan insentif elaun lebih tinggi kepada guru yang telah lama berkhidmat di sekolah di luar bandar kini berada di peringkat akhir pertimbangan oleh kerajaan.

Timbalan Setiausaha Agung (Kewangan dan Pembangunan) Kementerian Pelajaran, Datuk Fatimah Md Deni memaklumkan kerajaan bersetuju secara dasar menaikkan insentif elaun antara RM500 dan RM1,500 selain insentif menarik yang lain kepada guru yang bersedia melanjutkan perkhidmatan di luar bandar.

Kadar elaun itu akan bergantung dengan jarak sekolah selain keadaan kemudahan yang terdapat pada sekolah di luar bandar.

Daripada 1,262 sekolah rendah di Sarawak, 733 terletak di luar bandar dan daripada jumlah itu 433 berada jauh dipedalaman serta tidak mempunyai bekalan elektrik dan air yang sempurna.

Presiden Persatuan Guru Sarawak, William Ghani apabila ditanya mengenai reaksinya menyebut, meskipun guru yang mengajar di luar bandar menerima elaun sara hidup sukar, jumlah itu tidak penting dan adalah bertepatan pada masanya kerajaan memikirkan insentif lebih baik.

Beliau menambah, insentif cadangan antara RM500 dan RM1,500 adalah baik tetapi kerajaan tidak harus leka dengan kesengsaraan hidup yang didepani oleh guru yang mengajar di luar bandar di Sarawak.

Sebagai contoh, katanya, satu beg simen berharga kira-kira RM14 di sini, tetapi di Bario, satu beg sama boleh dijual pada harga RM200 dan sama juga dengan gas silinder yang dijual dengan harga RM150 di Bario.

Dalam hal ini, tegasnya, kerajaan perlu menimbang untuk membenarkan guru yang ditugaskan mengajar di luar bandar mengikut tempoh ditetapkan memandangkan sudah ada dasar guru-guru baru dihantar mengajar di luar bandar sebagai langkah mendedahkan mereka.

“Kenaikkan insentif amat dialu-alukan tetapi saya berpendapat adalah lebih baik guru yang mengajar di luar bandar turut diberi tempoh mengajar di kawasan terbabit.

“Apa yang membimbangkan mereka ialah apabila dihantar mengajar di luar bandar, mereka akan terkongkong dan tidak dapat keluar daripada kawasan itu lagi. Jadi, kerajaan harus menimbang satu dasar yang membolehkan mereka mengajar di luar bandar untuk tempoh tiga hingga lima tahun,” katanya kepada Utusan Borneo.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri James Masing turut mengalu-alukan langkah itu dengan berkata, “Cadangan untuk memberi kenaikkan insentif kepada guru akan berupaya meningkatkan kualiti pendidikan di luar bandar…ia merupakan satu pandangan jauh.”


Note : Sumber Utusan Borneo

1 comment:

|| -= n|ch0L45 =- || said...

whoaaaaaaaaaaaaa .... memang bijak la Najib ngan Hishamuddin baca fikiran aku eh ....