Why we choose this... What happens in college... What happens after college... What do we do next...

Friday, February 23, 2007

‘‘Guru jangan hilang fokus’’


DATUK FATIMAH MD. DENI.

Mukadimah
USAHA merapatkan jurang pendidikan telah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan mencapai banyak kemajuan sejak Rancangan Malaysia Ketiga (RMK-3). Walau bagaimanapun, tugas ini belum selesai dan akan terus diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Usaha ini dianggap paling kritikal atas nama pembangunan modal insan berminda kelas pertama, melalui kesaksamaan akses, ekuiti serta kualiti antara bandar dan luar bandar.

Hal ini juga sejajar dengan mesej yang selalu ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bahawa kejayaan agenda pembangunan modal insan amat bergantung kepada kualiti sistem pendidikan negara.

Menyedari betapa kritikalnya usaha untuk merapatkan jurang pendidikan menjelang tahun 2020, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan supaya teras strategi keempat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) ini dilaksanakan dalam bulan ini juga.

Lawatan Perdana Menteri ke Pulau Bum Bum pada 15 Februari ini untuk merasmikan Sekolah Berpusat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bum Bum menjadi pencetus kepada usaha itu, seperti yang telah dirancang dalam PIPP, yang dikelaskan sebagai Projek-Projek Impak Tinggi (HIPs) oleh Pasukan Petugas Pelaksanaan Nasional (NITF) dipengerusikan oleh Abdullah.

Pada peringkat Kementerian Pelajaran, tanggungjawab itu diserahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), Datuk Fatimah Md. Deni.

Ditanya apakah perkara pertama yang terlintas di fikirannya ketika menerima tugas tersebut, dalam nada spontan Fatimah berkata: ‘‘Bahu saya memikul satu tugas yang sangat berat.’’

Beliau menegaskan, amanah itu dilihat sangat penting kerana beliau tidak mahu ada pihak mempertikaikan produk yang dihasilkan nanti.

Biarpun yakin usaha tersebut mampu dilaksanakan dengan berkesan ditambah pula peruntukan besar yang disediakan iaitu RM23.2 bilion, namun, beliau tetap melahirkan kebimbangan jika matlamatnya tidak dihayati oleh semua pihak yang terbabit secara langsung.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, WAHID HASHIM, SITI MARIAM MD. ZAIN dan MARZITA ABDULLAH, Fatimah diminta menjelaskan tentang definisi sebenar jurang pendidikan, halangan dan cabaran yang dihadapi.

MINGGUAN: Apa sebenarnya definisi jurang pendidikan seperti terkandung dalam PIPP?

FATIMAH: PIPP 2006 hingga 2010 bertujuan memastikan Kementerian Pelajaran (KP) mempunyai matlamat tertentu untuk dicapai. Salah satu teras PIPP ialah merapatkan jurang bandar dan luar bandar. Walaupun sepanjang RMK-8 usaha-usaha telah dilakukan untuk memastikan keadaan di luar bandar khususnya Sabah dan Sarawak diberi segala kemudahan terutama infrastruktur termasuk membaiki sekolah daif, membina sekolah baru, menyediakan kuarters guru, membekalkan air bersih dan elektrik namun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Jadi kita meneruskan usaha-usaha ini dalam RMK-9 kerana jurang ini luas maknanya.

Kita meneruskan usaha membina lebih banyak sekolah, membaiki yang daif dan sebagainya. Kita juga melihat jurang dari segi digital, usaha kementerian contohnya membina makmal komputer, menyediakan schoolnet untuk mendapat akses kepada Internet. Kita juga mengadakan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menyediakan sekolah bestari. Ini semua merupakan usaha-usaha ke arah merapatkan jurang digital. Selain itu kita juga melatih guru. Kita ada infrastruktur namun jika kita tidak melengkapi guru dengan latihan sedangkan guru memainkan peranan di bilik darjah, mungkin usaha itu tidak akan tercapai seratus peratus.

Perkara yang menjadi fokus kepada matlamat merapatkan jurang bandar dan luar bandar ini?

FATIMAH: Kita mahu memastikan pelajar yang keluar dari institusi kita iaitu sekolah adalah insan-insan cemerlang yang boleh bersaing di peringkat global, berbudi bahasa atau apa yang kita sebut modal insan. Fokus kita adalah pelajar tetapi perkara lain mesti datang bersama.

Pertama, guru yang akan memainkan peranan, kedua, pembangunan fizikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemudah cara akan turut diberi penekanan. Perkara lain yang boleh membantu pelajar contohnya kemudahan buku teks, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Rancangan Makanan Tambahan (RMT) iaitu makanan lebih berkualiti bagi pelajar-pelajar miskin dan pelajar asrama. Baru-baru ini dalam mesyuarat Pasukan Petugas Pelaksanaan Nasional (NITF) yang dipengerusikan Perdana Menteri (PM), beberapa keputusan baru dibuat. Contohnya kadar makanan pelajar asrama ditambah daripada RM8 kepada RM12. RMT juga meningkat kadarnya kalau di Sabah dan Sarawak, RM1.35 kepada RM2.05.

Selain itu, menambah kemudahan pengangkutan para pelajar dan mewujudkan sekolah berpusat. Dalam masa sama, PM minta supaya bekalan elektrik dan air awam bersih dibekalkan 24 jam. Sekarang tempohnya terhad. Ada yang 12 jam, ada lapan jam dan ada enam jam. Saya diarah mencapai matlamat pada penghujung tahun. Apa yang kita buat ialah mempertingkatkan kuasa generator sedia ada serta menggabungkannya dengan kuasa solar.

Apa makna sekolah berpusat?

FATIMAH: Sekolah berpusat ialah usaha menyediakan kemudahan yang lebih baik. Ia sekolah baru yang dibina untuk membantu sekolah-sekolah kecil di satu-satu kawasan. Di bawah RMK-8, kita ada sebuah sekolah ini di Sabah dan Sarawak. Bererti Sekolah Kurang Murid (SKM) yang berhampiran akan dikurangkan dan semua murid akan ke sekolah berpusat. Selain memastikan infrastrukturnya baik, kita juga mahu guru berkualiti dan ada segala kemudahan yang diperlukan oleh para pelajar. Bermakna berlaku penambahbaikan kepada sekolah-sekolah kecil. Sekolah berpusat bermatlamat mengeluarkan pelajar berkualiti dan cemerlang.

Kementerian berusaha menyediakan infrastruktur dan pelbagai kemudahan, tetapi matlamatnya mungkin masih tidak akan sampai jika guru gagal memainkan peranan mereka?

FATIMAH: Kalau dilihat dari usaha-usaha kementerian, kita telah pun mengadakan pelbagai program dan pendekatan untuk memastikan guru-guru kita berkualiti. Contohnya kalau di luar bandar, ketika ini kita hanya memilih mereka yang meletakkan opsyen pertama sebagai guru. Kita akan memberi penekanan kepada faktor ini.

Kita juga menaik taraf maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG). Ini semua adalah untuk memartabatkan guru, agar kualiti guru dipertingkatkan. Guru juga diberi perhatian dari skil perkhidmatan mereka, peluang-peluang kenaikan pangkat diperluaskan, guru cemerlang dan pengetua cemerlang juga telah diberi tumpuan. Kita juga melihat peranan guru terlatih di bidang-bidang yang memerlukan keprihatinan contohnya kepimpinan. Sama ada sekolah itu menjadi atau tidak, bergantung kepada kepimpinan sekolah iaitu guru besar atau pengetua.

Dengan demikian, jawatan itu mestilah diisi oleh seseorang yang betul-betul boleh menjadi pemimpin di sekolah. Selain itu, kuarters guru juga akan dibina di tempat-tempat yang memerlukan. Di kawasan pedalaman, penekanan kita bukan sahaja menyediakan kuarters tetapi lengkap dengan perabot. Kita sedar apabila guru dihantar bertugas di pedalaman mereka tidak boleh membawa perabot. Maka kita tidak sekadar menyediakan tilam tetapi katil, sofa, almari dan sebagainya. Maknanya kalau guru-guru bujang, mereka akan masuk ‘cuci kaki’ sahaja.

Mereka disediakan kemudahan kelas pertama?

FATIMAH: Tidaklah sampai ada kelasnya tetapi insya-Allah kita menyediakan kemudahan asas di samping menjadikan guru selesa dan lebih berminat untuk ke pedalaman. Mungkin kalau kerajaan mampu, kita turut membekalkan televisyen. Menteri sendiri pernah menyuarakan hal ini. Sekarang pun bagi kawasan-kawasan yang mempunyai kuarters telah mula diberikan perabot malah ini mula dilakukan sejak tahun lalu.

Dalam konteks pendidikan, apa yang dimaksudkan sebagai pedalaman?

FATIMAH: Pedalaman bermakna terputus dari segala macam aksesibiliti. Maknanya dari segi pengangkutan daif, kena menggunakan kenderaan pacuan empat roda, bot dan sebagainya. Pedalaman juga sekarang ini kita bahagikan kepada tiga kategori iaitu pedalaman I – mempunyai kemudahan asas tetapi tidak selesa; pedalaman II – mungkin tiada kemudahan; pedalaman III – kita mungkin kena berjalan tiga atau empat hari untuk sampai ke satu-satu tempat.

Bagi menimbulkan kesediaan guru berkhidmat di pedalaman, kita telah memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mempercepatkan elaun pedalaman khas. Sekarang memang ada (elaun) tetapi kita minta kadarnya dipertimbangkan semula. Ketika ini kadarnya standard, duduk di luar bandar pun diberi kadar sama dengan di kawasan pedalaman yang mengambil masa tiga hari perjalanan untuk sampai. Kita mahu melihat perbezaan. Yang kita cadangkan ialah pedalaman I – tambahan sebanyak RM500, pedalaman II – ditambah RM1,000 dan pedalaman III – tambahan sebanyak RM1,500. Kita berharap usaha-usaha ini dapat dihayati oleh agensi pusat dan secara dasar memang Perdana Menteri sudah bersetuju tetapi kita perlu berbincang secara terperinci dengan JPA.

Guru akan menerima satu lagi durian runtuh?

FATIMAH: Ini ganjaran yang kita beri bagi menggalakkan guru bertugas di pedalaman. Malah kita juga mempunyai satu lagi pendekatan iaitu lagi lama mereka duduk di pedalaman, ada lagi insentif lain yang sedang dirancang.

Dalam kajian yang dibuat, apa punca sebenarnya guru tidak mahu mengajar di pedalaman?

FATIMAH: Kalau kita tanya kepada sesiapa pun sama ada hendak pergi ke pedalaman, pasti tiada yang sanggup. Bayangkan terpaksa berjalan berjam-jam, menaiki bot tiga hari tiga malam, siapa yang mahu? Dari segi kemudahan asas, tiada panggung wayang, pusat membeli-belah. Bagaimana kita hendak menarik minat mereka? Maka kita perlu menyediakan pelbagai insentif contohnya kuarters selesa yang dilengkapi perabot dan menaikkan elaun.

Sebagai golongan yang berhati murni untuk mendidik anak bangsa, bukankah mereka tidak sepatutnya memikirkan sangat tentang habuan?

FATIMAH: Kita hanya manusia biasa, jika diberi kemudahan mengapa kita hendak ke tempat yang menyusahkan? Ini realiti. Tiada siapa bekerja tidak memerlukan gaji. Ini ‘natural.’ Kalau hendak jumpa manusia yang bekerja semata-mata kerana Allah, memang ada tetapi tidak ramai. Kita telah buat kajian, apabila sampai ke satu peringkat, bertugas di pedalaman ini akan diwajibkan. Maknanya mereka tiada pilihan. Hendak menjadi guru boleh tetapi tiga atau lima tahun pertama dalam perkhidmatan kena pergi ke pedalaman. Keputusan telah dibuat tetapi perlu ada susulan. Ia tidak boleh dilaksanakan jika tidak ada kemudahan. Pelaksanaan ini akan dibuat secara berperingkat. Kita juga mengkaji supaya tidak semua sekolah mendapat guru yang terlalu baru dan yang terlalu lama. Kita mahu seimbang.

Kita juga tidak lagi menggalakkan pertukaran guru dalam keadaan tertentu. Katakan dia mengajar di Gombak tetapi mahu ke Kuala Selangor. Sebab keutamaan kita ialah membawa guru dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau guru-guru tempatan di Sabah dan Sarawak yang bersedia pulang ke kampung masing-masing. Malah itu salah satu daripada pendekatan kita mewujudkan IPG – satu di Sabah dan satu lagi di Sarawak – untuk melatih guru-guru tempatan. Kita tidak mahu terlalu banyak gangguan lagi kerana bimbang akan hilang fokus. Tetapi sekiranya ada keperluan dan terdapat kekosongan di sekolah berkenaan dan pertukaran atas suka sama suka, kita bersedia melayan permintaan seperti itu.

Tidakkah nanti wujud fenomena guru memilih untuk bertugas di luar bandar kerana imbuhan? Bermakna matlamat asal juga akan tersasar?

FATIMAH: Kita melihat kos sara hidup yang semakin tinggi. Penambahan elaun ini selari dengan keadaan semasa. Untuk pengetahuan, guru-guru yang berada di pedalaman hanya boleh keluar sekali dalam tempoh sebulan atau dua bulan.

Untuk keluar dan masuk semula, mereka perlu membelanjakan antara RM400 hingga RM700 sebab sewa bot mahal. Jadi memang kena waktunya kita menimbang semula kadar elaun guru. Tetapi insentif semata-mata bukan hasrat kita. Maknanya ada faktor-faktor lain yang turut diambil kira. Kita akan bekerjasama rapat dengan pihak Perbendaharaan dan JPA mengenai elaun ini kerana kita hanya membuat cadangan.

Kita sedar wujud masalah pengangkutan. Guru dan pelajar sendiri terpaksa mengambil masa berjam-jam malah berhari-hari untuk ke sekolah. Tetapi apa kesudahan kepada cerita sedih ini?

FATIMAH: Saya telah pergi banyak sekolah di pedalaman. Kalau tidak pergi, kita tidak tahu dan tidak memahami. Contohnya sekolah Orang Asli di Johor. Kenapa kehadiran pelajar hanya 40 peratus. Rupa-rupanya jalannya sukar. Orang kata, kalau wanita mengandung memang terus bersalin. Lagi satu, adakah manusia waras mahu menyewakan kereta mereka dengan keadaan jalan macam itu? Jadi ibu bapa kena hantar anak masing-masing ke sekolah.

Jika ada tiga anak dan hanya satu motosikal, semua akan naik sekali. Kemudian mereka akan berfikir kenapa hendak hantar anak ke sekolah sedangkan keutamaan sekarang ialah menoreh getah. Apabila kita bina asrama kita ingat boleh menyelesaikan masalah tetapi itu fikiran kita bukan Orang Asli. Ada pula yang bersedia menghantar anak tetapi mesti melawat setiap minggu. Apabila jauh, mereka perlukan kuarters transit. Ini yang akan kita perkenalkan nanti di beberapa sekolah di pedalaman. Kita akan bekerjasama dengan pihak swasta yang sedia menyewakan bas atau lori walaupun mahal, kita tiada pilihan. Yang penting kita mahu masyarakat Orang Asli hantar anak mereka ke sekolah. Kalau kita berjaya memujuk mereka, ini adalah pencapaian terbaik kita.

Ada yang mendakwa apa yang berlaku sekarang ialah perancangan kurikulum lebih laju daripada pembangunan fizikal itu sendiri. Komen Datuk?

FATIMAH: Kita kena lihat kurikulum merupakan sesuatu yang non-fizikal. Ini pengalaman saya menguruskan projek-projek di pedalaman. Pembinaan satu unit kuarters di kawasan bandar hanya menelan belanja contohnya RM200,000 sedangkan di pedalaman antara RM500,000 sehingga RM600,000. Ini kerana kita terpaksa memunggah bahan-bahan dengan helikopter jika tiada jalan darat atau sungai yang boleh menjadi penghubung.

Projek-projek di Semenanjung seperti sekolah rendah boleh siap dalam tempoh 18 atau 20 bulan tetapi di pedalaman Sabah dan Sarawak kena beri tempoh tambahan antara setahun. Di Semenanjung senang dapat pekerja tetapi di pedalaman belum tentu lagi walaupun upahnya berganda. Kalau di sini ada mesin membancuh simen, di sana semuanya dibuat dengan kudrat sendiri termasuk menanam cerucuk. Itu belum faktor pasang surut air bagi yang menggunakan pengangkutan air. Hendak mengangkat simen kena tengok keadaan. Perancangan perlu tepat supaya risikonya tidak terlalu tinggi. Dalam masa sama, agenda pendidikan perlu diteruskan.

Bagaimana dengan perkara dalam kawalan tetapi kita tidak merancang dengan baik. Contohnya ada projek rintis tetapi ‘terbuang’ begitu sahaja dan kerajaan rugi berjuta-juta ringgit?

FATIMAH: Kementerian tidak bertolak ansur lagi dalam hal ini. Sekarang mereka adalah pihak yang berminat dan mahu memperkenalkan projek atau program kepada kementerian. Dan kita tidak boleh bersetuju terus kecuali mereka ada projek rintis. Menjadi prinsip kita tidak akan memberi bayaran bagi mana-mana projek rintis.

Tetapi belum ada lagi projek rintis yang menelan belanja berjuta-juta ringgit. Kita pun amat bertimbang rasa kalau projek rintis itu menelan belanja tinggi, tidak payah kita buat banyak. Saya fikir jika mereka boleh meyakinkan kementerian tentang kos dan kesannya, maka kita akan mempertimbangkan.

Dulu berlaku kes makmal komputer terbengkalai. Apa jaminan semua ini tidak berulang?

FATIMAH: Semasa melaksanakan pembinaan makmal komputer fasa pertama, kita buat secara rundingan terus, bukan keputusan kementerian. Kami hanya menerima keputusan dan diarah untuk melaksanakan. Jadi kami tidak kenal kontraktor A, B atau C. Rundingan terus dengan Kementerian Kewangan. Sekarang tiada lagi kerana semuanya kami yang uruskan. Kita buat pendekatan ada yang kita serah kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya dan ada yang JPN buat. Kita lihat kepada kemampuan masing-masing. Apabila di bawah kawalan kita, mudah untuk mengawasinya.


Note : Sumber Utusan Malaysia

“Terima kasih cikgu”



Murid-murid prasekolah terpaksa menggunakan titi usang untuk berulang-alik ke sekolah di Kampung Muhibbah, Kuching, Sarawak. Kerajaan kini berusaha mempertingkatkan kemudahan pendidikan di kawasan pedalaman. – Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.

‘‘TERIMA kasih cikgu!” Satu ungkapan yang biasa kita dengar di seluruh ceruk rantau sekolah di negara ini sebaik sahaja seseorang guru selesai mengajar sesuatu mata pelajaran.

Ungkapan tradisi itu disebut dalam nada yang berbeza. Mungkin kepada murid sekolah rendah ia agak panjang, sesetengahnya dengan suara yang lantang, bersemangat dan sebilangan lagi dengan nada lemah dan sayu.

Begitu juga ungkapan itu memberi makna yang berbeza. Mungkin di sesetengah sekolah, ia hanya amalan biasa bagi memberi penghormatan dan penghargaan kepada sumbangan guru mendidik anak bangsa.

Namun, bagi pelajar-pelajar sekolah yang lain khususnya di kawasan pedalaman, ungkapan itu membawa makna yang amat mendalam. Menusuk jauh ke lubuk hati dan terbekas di ingatan.

Ini kerana tugas mendidik kanak-kanak seawal usia enam tahun berbeza-beza mengikut tempat seseorang guru itu ditempatkan mengajar. Ada yang bertugas di ibu negara, ibu negeri, bandar, pinggir bandar, pekan dan kampung-kampung.

Sebilangan lagi, di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman. Mereka ini ada yang ditempatkan di lereng gunung, atas banjaran, lembah, kaki bukit, tepi sungai, di tengah hutan belantara dan pulau-pulau terpencil.

Jika tempatnya berbeza, maka tentu sekali kemudahan infrastruktur dan keselesaan yang dinikmati oleh guru-guru ini juga berbeza. Begitu juga dengan nasib kanak-kanak yang belajar di sekolah di mana guru itu berada juga berbeza.

Pada masa ini terdapat 2.2 juta murid dikategorikan sebagai pelajar luar bandar dan pedalaman. Mereka adalah pelajar di 5,077 atau 68 peratus daripada 7,513 buah sekolah rendah yang ada di negara ini. Sebanyak 792 atau 39 peratus daripada 2,045 buah sekolah menengah turut terangkum dalam kategori itu.

Suatu yang lebih serius, daripada 7,513 buah sekolah rendah itu, sebanyak 33 peratus atau 2,260 buah sekolah merupakan sekolah kurang murid (SKM) yang mempunyai kurang 150 murid kini berada dalam keadaan daif, serba kekurangan kemudahan asas dan guru terlatih.

Masalahnya bagi SKM ini, kerajaan sukar menyalurkan bantuan meningkatkan prasarana memandangkan jumlah pelajar yang terhad dan perhatian seharusnya menjurus kepada sekolah lebih ramai pelajar dan pastinya lebih mendesak untuk diagihkan bantuan.

Namun begitu, pada masa yang sama nasib pelajar dan guru di SKM dan sekolah-sekolah pedalaman juga tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Tanpa kemudahan dan perhatian, khususnya dalam aspek pendidikan, tidak mungkin kerajaan mampu memajukan kawasan luar bandar seadilnya seperti masyarakat bandar.

Siapa tahu, mungkin di sana ada banyak intan dan berlian atau emas dan permata yang terbenam di dalam lumpur. Jika tidak digilap dan dibentuk sebaik mungkin, hasrat negara untuk mencapai matlamat negara maju menjelang 2020 sukar dicapai.

Tanggungjawab melaksanakan amanah itu pula terpikul oleh 143,000 guru di kawasan luar bandar dan pedalaman yang menuntut mereka menjalankan tugas terbaik untuk pelajar di bawah jagaan mereka.

Ironinya dalam keadaan kita mahu guru-guru itu melaksanakan tugas terbaik untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang, tetapi mereka ini tidak dibekalkan dengan kemudahan yang terbaik atau sekurang-kurangnya tidak diistilahkan sebagai daif.

Sebagai langkah mengurangkan jurang perbezaan yang mungkin semakin tinggi jika dibiarkan berterusan, Kementerian Pelajaran mengambil langkah bersepadu melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan pada 16 Januari lalu yang juga di bawah Projek Berimpak Tinggi.

Pernyataan komitmen berterusan Kementerian Pelajaran itu dicernakan melalui pelancaran Projek Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pulau Bum Bum, Semporna, Khamis lalu.

Pengumuman tambahan peruntukan RM2.6 bilion menjadikan keseluruhan RM12.3 bilion khusus kepada program peningkatan pendidikan luar bandar adalah bukti jelas dan nyata keprihatinan pucuk pimpinan kerajaan terhadap masyarakat luar bandar.

Kebiasaannya dalam perniagaan, pelabur hanya berminat melabur di kawasan strategik serta mempunyai seribu satu kemudahan sama ada lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang, namun pelaburan pendidikan melangkaui sempadan itu.

Pelaburan pendidikan tidak lagi boleh disukat dengan wang ringgit. Nilai kemanusiaan mewajarkan peruntukan besar untuk pelajar dan guru di pedalaman kerana mereka adalah sebahagian rakyat yang selayaknya menerima kemudahan sosial sama adil dengan masyarakat di bandar.

Membangunkan prasarana di pedalaman bukan mudah. Kosnya berlipat kali ganda kerana bahan-bahan seperti besi, simen, pasir dan sebagainya perlu dibawa masuk melalui helikopter atau jalan darat yang jauh dan sukar dihubungi.

Jika guru-guru sanggup berkorban jiwa dan raga mereka bertugas jauh di pedalaman, tentu sekali tidak wajar pihak bertanggungjawab bersikap memandang sebelah mata segala kekurangan dan kedaifan kemudahan yang ada, hanya kerana peruntukan yang perlu disalurkan itu cukup tinggi berbanding di kawasan lain.

“Guru-guru yang bertugas di pedalaman ini perlu dibantu kerana mereka adalah hero-hero kita dalam perkhidmatan pendidikan,” kata Perdana Menteri semasa menterjemahkan suara hatinya kepada budi dan jasa warga pendidik di kawasan luar bandar.

Sebagai penghargaan, Abdullah mengumumkan kelulusan tambahan RM2.6 bilion bagi melonjak pendidikan luar bandar yang merangkumi aspek sokongan dan bantuan, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), guru dan program intervensi.

Daripada rangkuman itu terserlah tiga aspek penting yang menjadi tonggak dan nadi pengajaran dan pembelajaran luar bandar iaitu infrastruktur, pelajar dan guru.

Masing-masing menerima imbuhan yang setimpal. Walaupun bukan dalam bentuk bonus atau kenaikan gaji, namun elemen lonjakan itu dilihat sebagai suatu gerakan bersepadu untuk memperkasakan perkembangan pendidikan luar bandar dan pedalaman.

Pelajar menerima bahagian mereka, daripada bersekolah di bangunan usang, kepada bangunan konkrit, bekalan elektrik 24 jam, bekalan air bersih, asrama, makanan berkualiti sehingga kepada kemudahan ICT sebagai pintu gerbang untuk meneroka khazanah dunia.

Sementara guru, menerima elaun tambahan pedalaman mengikut lokasi dan tahap kesusahan, elaun balik kampung, insurans perlindungan, tambahan rumah guru dan menaik taraf rumah sedia ada.

Melalui perancangan dan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan itu, kita tidak lagi boleh melihat ke belakang, kerana jauh di hadapan, ada masa depan yang panjang dan penuh cabaran.

Melengkapkan kanak-kanak seawal usia enam tahun dengan pendidikan berkesan, mampu melonjakkan mereka daripada keciciran, terpinggir, buta huruf dan terjerumus dengan pelbagai masalah sosial yang lain.

Mempersiapkan generasi baru untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan hari ini tidak boleh dilaksanakan dalam masa sekelip mata, kita tidak boleh melonjak jika tidak pandai berjalan.

“Terima kasih cikgu!''



Oleh JAMDI NASIR (WARTAWAN UTUSAN)













Fuuuhhh ilek lok aaa ... tarik nafas panjang2 ... tahan .... tahan .... jangan lepas .... steady .... esok baru lepas ye ... bagus sementara elaun/insentif perdana / sukar belum keluar tok ... setakat tok x byk la yang kedengaran ... cuma ada khabar angin dari JPNS Kuching madah elaun/insentif ya aku diberi secara tahunan ... cuba renung balit lok ... setahun ... logik x ?? bagi yang dapat P1 ya untuk dapat elaun tahunan bagus iboh jak ... besar gik elaun sukar kinek tok mun di kumpul 12 bulan ... korang rasa logik x mun elaun ya di beri tahunan ... aku gerenti Cikgu2 di bahagian Kapit & Marudi/Baram mesti x setuju punya .... hahahaha .... tapi at least bagus dari xda pa2 nak ... cuma ya jak tek ... mun di beri tahunan nang x best ... walaupun kawasan P3 (jalan kaki 3 - 4 hari oooo mana tahan) anyway aku x dapat nak confirm lebih2 benda tok .... cuma sekadar bercerita jak ngan korang yang sewaktu dengannya .... yang x sewaktu pun boleh juak menyampuk tapi sesen pun xkan d beri ngan korang (you know who you are) hehehehehe

Sunday, February 18, 2007

Ramai setuju guru luar bandar diberi elaun lebih tinggi

KUCHING, 12 Feb: Cadangan kerajaan persekutuan menawarkan elaun lebih tinggi kepada guru yang berkhidmat di luar bandar bertepatan pada masanya supaya bersedia berkhidmat lebih lama di kawasan terbabit.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, sementara langkah itu dilihat baik tetapi kerajaan tidak harus mengabaikan insentif lain.

“Penambahan insentif sudah tentu akan merangsang guru yang berkhidmat di luar bandar tetapi bagi sesetengah mereka, persekitaran pembelajaran akan terus menjadi keraguan mereka. Kemudahan pengajaran dan pembelajaran selain peluang meningkatkan profesionalisme seperti biasiswa tidak harus diabaikan,” katanya.

Fatimah berpendapat, kerajaan tidak harus hanya melihat pada insentif dalam jangka masa pendek tetapi juga langkah jangka panjang untuk menaik taraf kemudahan di sekolah yang dapat memberi manfaat bukan saja kepada guru malah pelajar.

Beliau menegaskan, masih banyak lagi sekolah di luar bandar yang tidak dibekalkan dengan sistem paip dan elektrik yang sempurna.

Ahad lalu, Timbalan Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan menawarkan insentif elaun lebih tinggi kepada guru yang telah lama berkhidmat di sekolah di luar bandar kini berada di peringkat akhir pertimbangan oleh kerajaan.

Timbalan Setiausaha Agung (Kewangan dan Pembangunan) Kementerian Pelajaran, Datuk Fatimah Md Deni memaklumkan kerajaan bersetuju secara dasar menaikkan insentif elaun antara RM500 dan RM1,500 selain insentif menarik yang lain kepada guru yang bersedia melanjutkan perkhidmatan di luar bandar.

Kadar elaun itu akan bergantung dengan jarak sekolah selain keadaan kemudahan yang terdapat pada sekolah di luar bandar.

Daripada 1,262 sekolah rendah di Sarawak, 733 terletak di luar bandar dan daripada jumlah itu 433 berada jauh dipedalaman serta tidak mempunyai bekalan elektrik dan air yang sempurna.

Presiden Persatuan Guru Sarawak, William Ghani apabila ditanya mengenai reaksinya menyebut, meskipun guru yang mengajar di luar bandar menerima elaun sara hidup sukar, jumlah itu tidak penting dan adalah bertepatan pada masanya kerajaan memikirkan insentif lebih baik.

Beliau menambah, insentif cadangan antara RM500 dan RM1,500 adalah baik tetapi kerajaan tidak harus leka dengan kesengsaraan hidup yang didepani oleh guru yang mengajar di luar bandar di Sarawak.

Sebagai contoh, katanya, satu beg simen berharga kira-kira RM14 di sini, tetapi di Bario, satu beg sama boleh dijual pada harga RM200 dan sama juga dengan gas silinder yang dijual dengan harga RM150 di Bario.

Dalam hal ini, tegasnya, kerajaan perlu menimbang untuk membenarkan guru yang ditugaskan mengajar di luar bandar mengikut tempoh ditetapkan memandangkan sudah ada dasar guru-guru baru dihantar mengajar di luar bandar sebagai langkah mendedahkan mereka.

“Kenaikkan insentif amat dialu-alukan tetapi saya berpendapat adalah lebih baik guru yang mengajar di luar bandar turut diberi tempoh mengajar di kawasan terbabit.

“Apa yang membimbangkan mereka ialah apabila dihantar mengajar di luar bandar, mereka akan terkongkong dan tidak dapat keluar daripada kawasan itu lagi. Jadi, kerajaan harus menimbang satu dasar yang membolehkan mereka mengajar di luar bandar untuk tempoh tiga hingga lima tahun,” katanya kepada Utusan Borneo.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri James Masing turut mengalu-alukan langkah itu dengan berkata, “Cadangan untuk memberi kenaikkan insentif kepada guru akan berupaya meningkatkan kualiti pendidikan di luar bandar…ia merupakan satu pandangan jauh.”


Note : Sumber Utusan Borneo

Thursday, February 01, 2007

Berita Baik Untuk Guru PEDALAMAN SABAH & SARAWAK

Sapa-sapa yang kat ulu ya mun nak mintak pindah pegi bandar baca lok tok .... xda kaitan ngan Cikgu-cikgu yang kat semenanjung nun (buat-buat bodo jak mun baca tok) wahahahahahahaha x masuk kawasan liputan korang ya .... Fuhyoo Insentif/Elaun tok ajak besar gik dari gaji bersih aku (tertakluk kepada penggredan area skolah korang) yang aku tauk sekolah aku layak untuk P3 = RM1500, I don't have any idea when it will be implemented so we'll just have to wait and see .... patience is virtue :)



Kenaikan Gaji Kakitangan Awam Dikaji

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Kabinet sedia memberi pertimbangan serius berhubung tuntutan gaji sektor awam, tetapi keputusan mengenainya akan mengambil kira kemampuan kewangan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan mempunyai komitmen dan tanggungjawab yang besar bukan sahaja dari segi membiayai gaji kakitangan awam bahkan menyediakan peruntukan yang cukup untuk program pembangunan negara.


Note: Sumber Utusan Malaysia.




Insentif Baru Guru Pedalaman Ditimbang

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Guru-guru di kawasan pedalaman dijangka menikmati insentif baru termasuk insurans keselamatan serta yuran tajaan pengajian ke pusat pengajian tinggi.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementerian sedang mempertimbangkan langkah tersebut dalam usaha menarik lebih ramai guru untuk berkhidmat di luar bandar.

Beliau berkata, pada masa ini beberapa langkah lain telah dilaksanakan termasuk memberi elaun insentif pedalaman sebanyak 10 peratus daripada gaji pokok kepada guru-guru.

``Guru pedalaman yang menduduki kuarters guru yang daif akan menerima bayaran penuh Elaun Tetap Perumahan (ITP),'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Hishammuddin berkata, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kementerian merancang memperbanyakkan pembinaan rumah guru terutama di luar bandar.

Beliau menambah, pengiktirafan dan penghargaan kepada guru-guru yang berkhidmat di luar bandar juga akan diberikan seperti ketika sambutan Hari Guru.

``Dari segi pemilihan dan pengambilan guru, kementerian mengamalkan dasar mengutamakan calon tempatan yang memenuhi syarat kelayakan minimum,'' katanya.

Note : Sumber Utusan Malaysia


Guru di pedalaman nikmati dua insentif baru

PUTRAJAYA 17 Okt. - Guru-guru yang berkhidmat di pedalaman akan menikmati dua insentif baru bagi memartabatkan profesion perguruan dan menggalakkan mereka bertugas di luar bandar.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, insentif itu ialah yuran percuma untuk guru melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan skim insurans hayat.

Menurutnya, ia bagi menggalakkan guru di pedalaman melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan menyahut seruan kerajaan dalam merealisasikan pembelajaran sepanjang hayat.

``Insurans pula bertujuan melindungi guru terutamanya di pedalaman yang sering berhadapan dengan risiko bahaya dan kemalangan ketika bertugas,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis Penyerahan Sumbangsih Aidilfitri Warga Pendidik Pendalaman Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Pada majlis tersebut seramai 35 wakil warga pendidik dari seluruh negara hadir mewakili 13,480 guru yang bertugas di pedalaman.

Turut diadakan penyampaian hadiah khas kepada seorang guru, Azlee Makibin dari Sekolah Kebangsaan Abuan, Beluran, Sabah yang dipilih sebagai guru contoh ekoran komitmennya bertugas di pedalaman.

Menurut Hishammuddin, satu perbincangan awal antara OUM telah dilakukan hari ini dan pada dasarnya mereka telah bersetuju untuk memberi pengecualian yuran dan insentif kepada guru-guru di pendalaman yang ingin melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.

``Kursus yang memakan masa tiga tahun itu pasti memberi kelebihan kepada kementerian kerana guru-guru tersebut akan terikat untuk mengajar di pedalaman dalam tempoh berkenaan.

``Buat masa ini, guru yang belajar di OUM hanya diberi diskaun pembayaran yuran,'' katanya.

Sementara itu, menurut beliau, skim perlindungan insurans tambahan khusus untuk guru pedalaman diperkenalkan memandangkan guru sentiasa berhadapan dengan risiko kemalangan seperti bot terbalik, diserang lanun dan sebagainya.

``Dengan adanya skim ini, guru-guru di pedalaman lebih dilindungi jika berlaku sebarang kemalangan,'' katanya.

Tambah beliau, walaupun ia masih dalam peringkat kajian, kementerian akan mendapatkan satu pakej khas daripada syarikat insurans supaya polisinya lebih menarik.

Note : Sumber Utusan Malaysia



Agenda Kurangkan Jurang Pendidikan Bandar-Pedalaman Jadi Keutamaan

PUTRAJAYA, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan pada dasarnya bersetuju memberikan pakej insentif khas kepada guru pedalaman sebagai mengiktiraf pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata agenda mengurangkan jurang pendidikan di bandar dan luar bandar/pedalaman juga dikenalpasti sebagai sesuatu yang akan dilaksanakan melalui pendekatan projek dan inisiatif berimpak besar.

Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF) hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Hishammuddin berkata pada mesyuarat itu, pihaknya memberikan taklimat mengenai pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang ada hubung kait dengan agenda pendidikan.

Menyentuh pakej insentif kepada guru pedalaman, beliau berkata:

"Kita dapat persetujuan secara prinsip, jumlahnya akan dibincangkan dengan Kementerian Kewangan kerana ini banyak berkisar kepada siling keseluruhan RMK-9, bukan siling Kementerian Pelajaran sahaja.

"Tetapi saya lega bahawa pemberian pakej insentif ini dipersetujui," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran kementerian di sini malam ini.

Antara insentif yang akan diperhalusi ialah pemberian elaun kesukaran bagi mencerminkan kesusahan yang ditanggung oleh guru yang bertugas di pedalaman.

Dalam konteks ini, kata beliau, kementerian dan kerajaan akan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada kebajikan dan keselesaan guru pedalaman.

"Bila Perdana Menteri bersetuju untuk kita mempertimbangkan insentif khusus untuk guru-guru pedalaman, ini satu perkara yang amat bersejarah," jelas Hishammuddin.


Note : Sumber Utusan Malaysia